–Penyanyi dan pelakon Afieq kini merealisasikan impiannya untuk menunaikan umrah buat kali pertama. Beliau tiba di Madinah pagi tadi dan memulakan perjalanan spiritualnya dengan solat di Masjid Nabawi.
Afieq berkongsi bahawa hasrat untuk menunaikan umrah telah lama dipendam sejak 2018, namun tertangguh akibat kesibukan kerja dan pandemik. “Ketika itu saya baru memulakan kerjaya dan berazam untuk menunaikan umrah. Walaupun banyak cabaran, saya bersyukur kerana akhirnya Allah izinkan saya sampai ke sini,” katanya penuh rasa syukur.
Selama lima hari di Madinah dan lima hari di Mekah, Afeiq akan memanfaatkan peluang ini untuk berdoa bagi dirinya, keluarga, peminat, dan semua yang menyokongnya. “Saya berdoa untuk kebaikan semua, termasuk mereka yang mungkin tidak saya kenal secara peribadi tetapi sentiasa menjadi tulang belakang saya,” ujarnya.
Afieq juga tidak lupa menyampaikan salam kepada Rasulullah dan memanjatkan doa agar dikurniakan jodoh yang baik serta masa depan yang lebih cemerlang. “Saya melihat ramai sahabat yang sudah berkeluarga, dan saya juga berdoa agar dapat merasai kebahagiaan yang sama,”
Tambahnya.Beliau berharap ibadahnya dipermudahkan dan meminta peminat mendoakan kesihatan serta kelancaran sepanjang perjalanan umrahnya. “Ini adalah pengalaman yang sangat bermakna. Saya harap ia membawa keberkatan bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk semua yang mendoakan saya,” katanya mengakhiri perbualan.Semoga ibadah Afieq diberkati dan membawa rahmat kepada dirinya serta orang-orang yang disayanginya.