1 min read
Ernie Zakri Cipta Sejarah Di Konsert ‘AURA ERNIE ZAKRI’



Dewan Plenary di Kuala Lumpur Convention Centre menjadi pentas bagi malam penuh keajaiban yang dihidupkan oleh Ernie Zakri melalui konsert solonya, Aura: Ernie Zakri Live in Concert.
Bukan sekadar sebuah hiburan biasa, ia adalah pengalaman penuh emosi yang menonjolkan kehebatan vokal Ernie, terus memukau dan memikat hati para peminatnya.


Walaupun berdepan dengan cabaran apabila disahkan mengalami jangkitan laringitis sebelum konsert, Ernie membuktikan profesionalismenya sebagai seorang artis sejati.
Persembahan vokalnya tetap luar biasa, menyampaikan lagu-lagu bernada tinggi dimulakan dengan lagu Aura, diikuti rangkaian 22 lagu lain, termasuk Boneka, Astana, Ayuh, Misteri, dan Gundah.
Ernie turut menghangatkan suasana dengan lagu-lagu duet bersama Sabronzo (Luv) dan penampilan khas Ade Govinda untuk lagu Masing-masing, dan Hal Hebat.


Keindahan malam itu diperkaya dengan susunan muzik eksklusif oleh pengarah muzik, Genervie Kam dan penghayatan mendalam dari Ernie, menjadikan setiap persembahan sebagai perjalanan emosi yang menyentuh hati.Penonton tidak hanya dihiburkan, tetapi juga merasakan keintiman dan keikhlasan seorang artis yang berdedikasi terhadap seni muziknya.


Persembahan duet bersama Syamel untuk lagu Die With Smile dan Aku Cinta turut menjadi salah satu detik kemuncak malam tersebut.Persembahan diakhiri dengan penuh emosi dan kehebatan apabila Ernie menutup malam itu dengan lagu Ku Bersuara, menggemakan pesanan dan semangat yang menyentuh hati semua yang hadir.Konsert ini turut membuka lembaran baharu buat Ernie apabila pihak penganjur, SAH Entertainment, mengumumkan konsert susulan di Singapura yang dijadualkan pada Jun 2025.
Malam penuh magis ini membuktikan bahawa Ernie Zakri bukan sahaja seorang penyanyi berbakat besar, tetapi juga seorang penghibur sejati yang mampu mencipta keajaiban walau diuji dengan cabaran.


Aura: Ernie Zakri Live in Concert akan terus diingati sebagai malam yang menonjolkan cinta, emosi, dan kehebatan seni muzik Ernie Zakri.