: Juri tetap Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Datuk Yusry Abdul Halim terbuka dengan segala kritikan penonton mengenai penilaiannya terhadap peserta.Menyedari adakala keputusannya bersama juri tetap lain, iaitu Ziana Zain dan Cakra Khan termasuk juri jemputan tidak memuaskan hati peminat, Yusry berkata, dia hanya melakukan tugas mengikut mandat diberi.
Menurut Yusry, dia memberi pendapat berdasarkan pengetahuannya dalam bidang muzik, selain mengakui apa yang berlaku adalah perkara normal dalam mana-mana pertandingan.
“Pada saya mana-mana pertandingan sekalipun, kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Apa saya cakap tidak semestinya betul.
“Ini adalah pendapat saya, begitu juga juri lain iaitu Ziana Zain, Cakra Khan dan Alif Satar. Penonton juga ada pendapat tersendiri yang mereka rasakan. “Bila diberikan mandat untuk menjadi juri, ini bermakna produksi memberi ruang untuk saya keluarkan pendapat sendiri.
“Saya tak cakap saya betul, ada juga peserta yang sebelum ini naik walaupun mereka tidak menjadi pemenang program,” katanya pada sidang media konsert minggu keenam CSOIAM di Studio TV3, Glenmarie, Shah Alam, kelmarin.
Pada masa sama, Yusry menasihati peserta yang tersingkir untuk tidak patah semangat kerana ini bukan pengakhiran buat mereka.
“Ini adalah perkara semula jadi dalam mana-mana pertandingan. Sesiapa sahaja yang terkeluar, jangan putus harapan.
“Ini bukan pengakhiran untuk semua, jadi mana-mana yang tidak puas hati itu saya rasa mereka perlukan masa. Kalau peserta itu bagus, dia akan bersinar juga,” katanya.Kelmarin, lima peserta iaitu Jimi, Marygrace, Kai Deva, Mariam dan Zazzleen menempah tiket ke pentas separuh akhir, Ahad ini selepas berjaya mengharungi cabaran minggu keenam.
Pada konsert minggu keenam yang juga saingan suku akhir, Eylia Guntabid terpaksa akur apabila perjalanannya terhenti di situ.
Mengulas mengenai saingan minggu keenam yang menyaksikan hanya lima peserta berjaya mara, Yusry berkata, persaingan setiap peserta sangat sengit.
“Sebenarnya saya diberi peluang untuk melihat markah. Selepas dicampurkan, tak jauh sebenarnya markah setiap peserta. Tapi kemungkinan yang membezakan mereka adalah adalah undian penonton.
“Saya boleh katakan markah daripada juri sangat dekat sama ada adil atau tidak, itu adalah lumrah pertandingan. Kadang-kala ada yang tidak bersetuju dan sebagainya. “Kalau tanya juri lain pun mereka juga ada pilihan masing-masing. Juri hanya memberi pendapat dan masing-masing ada perbezaan tersendiri,” katanya.
Konsert minggu keenam CSOIAM bertemakan, 'Saling Menyengat, Fizz Sangat' menyaksikan Eylia berduet bersama Khai Bahar.
Jimi tampil berduet bersama Amir Masdi, Marygrace (Aisha Retno), Kai Deva (Haqiem Rusli), Mariam (Marsha Milan) dan Zazzleen (Shiha Zikir)
Bagi konsert separuh akhir bertemakan ‘Melodi Cinta Kita’, kemungkinan seorang peserta bakal berdepan penyingkiran sebelum empat finalis berentap pada konsert akhir, pada 9 Februari ini.
End