1 min read
Terbukti Calpis Soda One In A Million Rancangan Yang Dinantikan Oleh Rakyat Malaysia

: Calpis Soda One In A Million: Bukan Soal Sendu Tapi Pentas Meraikan Bakat Pelbagai Bangsa & Gener. Rancangan ini telah pun  bersiaran selama enam minggu,  pelbagai persepsi, buah fikiran, kritikan dan padangan dalam kalangan pemerhati industri muzik mahupun peminat hiburan tempatan.


Antara yang hangat diperkatakan adalah mengenai program realiti yang bersiaran pertama kali selepas 15 tahun diperkenalkan kepada penonton itu ‘sendu’ (tidak menarik) dan menjual terlalu banyak kisah seperti ‘Bersamamu’.


Selain ramai yang tidak mengenali peserta, ada juga yang menyifatkan tiga juri tetap iaitu Ziana Zain, Datuk Yusry Abdul Halim dan Cakra Khan sebagai tiada memberi sumbangan bernas atau membantu peserta dalam meningkatkan prestasi — melainkan hanya mengatakan persembahan para peserta pada malam pertandingan sama ada menarik atau tidak menarik.


Dan pada minggu keenam menyaksikan salah seorang peserta yang dilihat punya potensi besar untuk sampai ke garisan penamat serta mungkin layak dinobatkan sebagai juara, Eylia Guntabid terpaksa akur apabila disingkirkan selepas mendapat peluang berduet dengan Khai Bahar menerusi Dua Insan Bercinta.
Maka ada banyak buah pandangan yang terus dilontarkan ;

 penerbit tidak telus, juri tidak bijak memberi 60 peratus markah atau Eylia memang tidak mampu memperoleh 40 peratus undian peminat sehingga hipotesisnya Calpis Soda One In A Million nampak tidak adil — peserta yang bagus tersingkir, yang kekal bertanding hanya bersandar rupa.


Bercakap tentang rupa paras, ini adalah hal yang paling subjektif kerana barangkali ada yang masih keliru Zazleen terlebih hormon lelaki, Marygrace terlajak manja, Mariam seperti kakak founder, Jimi tidak cukup maskulin untuk digelar kacak atau Kai Deva memang tidak hensem. Semua ini boleh menimbulkan perdebatan kerana tidak ada yang betul dan tiada siapa juga yang salah kerana sekali lagi mengulang bahawa rupa paras atau penampilan sesuatu yang subjektif dan mengikut citarasa masing-masing.


Cuma untuk memasukkan program yang menawarkan habuan RM1 juta ini (wang tunai dan aset) sebagai sendu, menjual rupa atau tidak adil, marilah kita melihat inisiatif yang dibawa TV3 ini sebagai sesuatu yang perlu diberi ruang untuk diperbaiki serta mengangkat lebih daripada sekadar hiburan.


Menontonnya dalam bentuk program realiti yang ditayangkan di televisyen tentu sahaja ia bersifat hiburan. Namun mesej yang disampaikan di sebalik Calpis Soda One In A Million ini yang patut diperhatikan.


Ironi sepanjang enam minggu bersiaran, para juri telah membuat pilihan tepat. Kenapa saya berpandangan sedemikian? Kerana secara jujur Malaysia sudah kebanjiran penyanyi wanita.
Mahu berapa ramai penyanyi wanita yang memiliki kualiti atau suara mantap seperti penyanyi sedia ada tetapi dari segi identiti dan kebertahanan dalam industri, mampukah itu terjadi?  Dan cukupkah besok lusa hanya menjual ‘saya bekas peserta program Calpis Soda One In A Million tetapi tidak diberi ruang melangkah jauh lagi dalam industri.


Ya mungkin mampu, soal rezeki bukan milik kita kecuali Sang Pencipta. Namun harus diingat, pengalaman yang dilalui di Calpis Soda One In A Million termasuk tersingkir di minggu pertama atau keenam atau mungkin pada minggu-minggu seterusnya itu sangat penting untuk peringatan bahawa —— dunia ini keras dik, termasuk dunia hiburan yang gelombang badainya tak pernah dijangka.
Seterusnya, Calpis Soda One In A Million bukan hanya hiburan sendu atau pentas pertandingan mahu siapa menang atau tewas tetapi menjadi medan untuk rakyat Malaysia sedar bahawa negara bertuah ini mempunyai bakat yang luar biasa daripada berbilang bangsa atau kaum juga usia dan generasi.


Sama ada dari Semenanjung atau Sabah dan Sarawak, semua bakat dan keinginan menjadi anak seni cuba direalisasikan di dalam program ini. Mungkin kita tidak kenal dan tidak menonton tetapi di seluruh pelusuk negara, ramai yang diam-diam menonton dan menyokong perjuangan ahli keluarga, rakan dan calon bintang kegemaran mereka.


Jika bias, Kai Deva mungkin sudah ditunjukkan jalan pulang kerana warna kulit, peserta paling berusia disingkirkan awal kerana sudah tua atau peserta daripada Sabah dan Sarawak juga disingkirkan awal kerana program ini dipancarkan dari Semenanjung.
Malah stesen televisyen mengambil risiko, penaja mengambil risiko, penerbit program mengambil risiko, juri mengambil risiko, peserta mengambil risiko malah peminat yang membuat undian juga mengambil risiko hanya untuk memiliki dan menyuburkan industri hiburan tempatan dengan bakat baharu yang berkualiti — melalui saringan secara nyata bukan maya.


Bersyukurlah kerana masih ada program realiti yang dianggap sendu tetapi di sebaliknya telah dapat terus menjana eko sistem industri kerana semua pemain bidang ini harus meneruskan perjuangan dan kelangsungan hidup. Dan paling penting dunia hiburan tempatan akan terus wujud dengan kehadiran pemain baharu yang bakatnya dicungkil daripada Calpis Soda One In A Million.


Sekali lagi, ini bukan soal siapa menang siapa kalah (kecuali misi peserta). Ini soal yang lebih kritikal iaitu mengubah sebuah hiburan menjadi industri penting negara.